Video Hari Ini

About this Blog

Blog ini merupakan perkongsian pengalaman dan cetusan idea atau pendapat dari al-Faqir,moga-moga dengan perkongsian ini dapat memberikan manfaat untuk kita bersama.Walaubagaimanapun ini merupakan sekadar pandangan atau perkongsian yang penuh dengan kelemahan dan kesilapan,mungkin ya atau tidak, jika anda merasakan pandangan atau cetusan idea yang dilontarkan salah anda boleh melemparkan sejauhnya dari fikiran anda sekalian,akan tetapi jika saudara/i mempunyai pandangan yang berbeza pintu muzakarah dibuka seluas-luasnya untuk kebaikan kita semua dan yang paling penting ialah untuk kebaikan Islam itu sendiri..

al-Faqir

Ibn Hassim

Kesenangan Itu Kebinasaan

0 comments

Golongan pemuda dan pemudi Islam diibaratkan sebagai tulang belakang kepada sesebuah gerakan Islam dan kepada masyarakat Islam itu sendiri.Oleh yang demikian pembentukan syakhsiyah golongan ini perlulah dibentuk dan diturap agar selari dengan guardline yang telah ditetapkan oleh Islam.

Apa yang diharapkan adalah agar golongan pemuda zaman sekarang menjadi seperti pemuda-pemuda celupan al-Quran yang telah diceritakan oleh Allah taala didalam kitab-Nya mengenai bagaimana syahksiyah yang telah ditunjukkan oleh pemuda-pemuda pada zaman dahulu seperti kisah ashabul kahfi dan banyak lagi kisah yang diceritakan oleh Allah taala didalam al-Quran yang menceritakan kehebatan manusia yang bergelar pemuda apabila golongan pemuda diterap dengan terapan islam dan apabila mereka memahami tentang kewajipan untuk menegakkan agama Allah taala di muka bumi dengan mewaqafkan dirinya didalam Jemaah Harakah Islamiyah.

Tiadalah perkara lain yang lebih menakutkan pihak musuh Islam terhadap manusia Muslim yang berada di IPT-IPT yang sememangnya adalah golongan pemuda seluruh dunia melainkan satu kelompok yang berasaskan Jemaah Harakah Islamiyah .

Golongan ini sedar bahawasanya ketentuan halatuju, kemantapan, perancangan dan kesinambungan perjuangan harakah islamiyah bagi sesebuah negara Islam akan bergantung sepenuhnya terhadap kekukuhan manhaj setiap mahasiswa/i yang bergelar jemaah.

Mahasiswa yang berjemaah tidak sama intergriti pemikirannya berbanding dengan mahasiswa yang tidak berjemaah walaupun kedua-dua mahasiswa tersebut berada di bidang Pengajian Ilmu-Ilmu Islam. Mahasiswa yang memperjuangkan Islam tanpa menyertai jemaah umpama seorang Muslim yang bersolat seorang diri di dalam masjid dan tidak termasuk didalam fadilat solat secara berjemaah yang dijanjikan oleh Allah taala.

Dalil yang menunjukkan kepada kewajipan berjemaah sepertimana yang difirmankan oleh Allah didalam firman-Nya:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Perjuangannya mungkin kelihatan murni dan benar tetapi kekuatan dan keampuhan perjuangan itu kurang keberkesanannya dan mungkin hanya akan berlegar di dalam diri sahaja dan mudah untuk Futur didalam perjuangan. Berbanding dengan mahasiswa yang berjemaah, walaupun teramat kecil bilangannya tetapi wadah perjuangan dikawal bai’ah yang mengikat persetiaan hidup dikalangan ahli-ahli jemaah.

Mahasiswa Islam yang berjemaah mempunyai hierarki kepimpinan yang sangat sistematik walaupun tidak direkodkan seperti perlantikan Amir dan Amirah, Naqib dan Naqibah bagi sesuatu kumpulan-kumpulan kecil.

Oleh hal yang demikian,musuh-musuh Islam mempunyai tugas yang sukar untuk menjatuhkan atau melemahkan golongan yang memperjuangkan Islam secara berjemaah.Walaupun ditekan atau disekat dengan kekerasan mereka ibarat air terjun yang disekat oleh batu-batu yang mana air tersebut akan mencari jalan lain untuk menembusi batu-batu tersebut.

Lihat sahaja bagaimana tindakan mahasiswa-mahasiswa Islam di Malaysia apabila mereka bangkit untuk menyatakan bantahan mereka terhadap e-undi didalam pilihan raya kampus yang merupakan satu konspirasi untuk mengalahkan mahasiswa-mahasiswa islam didalam pilihan raya kampus tersebut.

Hal yang sama juga belaku kepada mahasiswa-mahasiswa Islam yang berada di Mesir,sepertimana isu Pembacaan Kutub Sittah oleh Masyaikh al-Azhar yang dianjurkan oleh PMRAM dihalang ataupun ada konspirasi untuk membatalkan program tersebut.Kita lihat ramai dalam kalangan mahasiswa-mahasiswa Islam disini bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap perkara yang telah dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Namun begitu,satu perkara yang dibimbangi adalah jika golongan musuh Islam‘menyerang’ golongan pemuda-pemuda Islam pada zaman sekarang dengan perkara yang melalaikan dan melekakan ataupun memasukkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hati atau jiwa mahasiswa-mahasiswa islam.

Hal ini kerana,mereka menyedari bahawa pemuda-pemuda Islam tidak akan gentar dengan tekanan atau tindakan kekerasan yang dilakukan oleh golongan musuh.Salah satu sifat yang ada didalam jiwa pemuda Islam yang telah ditarbiyah adalah tidak mudah lemah apabila ditekan atau digertak kerana itulah sifat yang sememangnnya ada didalam semua jiwa para pemuda.

Cuba kita lihat beruk yang memanjat pokok kelapa,berut tersebut akan memegang pokok kelapa tersebut dengan kuat apabila angin bertiup dengan kencang,akan tetapi apabila angin bertiup sepoi-sepoi bahasa ia boleh menyebabkan beruk tersebut akan terleka sehinggakan melepaskan kedua-dua tangannya yang sebelum ini kuat memegang pokok kelapa tersebut sehinggakan beruk tersebut jatuh ke tanah dek kerana lalai dengan ketenangan angin tersebut.

Oleh yang demikian,sama-samalah kita menyedari hakikat yang berlaku sekarang, jangan ketenangan ataupun kesenangan yang kita kecapi sekarang menyebabkan kita terleka dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk menguasai Islam.

Sekadar Peringatan..

0 comments

Assalamualaikum dan Salam Imtihan dari Perlembahan Nil

Syukur kepada Allah taala diatas nikmat yang telah Allah kurniakan kepada ana untuk mencoretkan sesuatu didalam blog ini.Walaupun dalam fatrah Imtihan,Allah taala masih lagi memberi peluang kepada ana dalam ruang masa yang terhad ini.

Terkadang kita termangu sendirian sambil hati bercakap-cakap dan tertanya-tanya mencari jawapan yang tidak pasti. Isyy.., kenapalah rasa sunyi sangat hati ni?,kenapalah rasa macam diri ini jauh sangat dari Allah. Ini tak kena, itu tak kena. Semuanya rasa serba tak kena. Apakah Allah sudah berlepas tangan dariku? Astaghfirullahal Azhim.

Rasa-rasa sebegitu acapkali menjengah dan menghantui diri kita, tidak kira siapa, dan ia tidak lain berpunca dari diri kita sendiri. Cuba kita cari dan suluh puncanya.

Dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini, itulah punca dan sebab musababnya. Maka, sama ada sedar atau tidak, dosa dan maksiat telah menjadikan hubungan kita dengan Allah semakin merenggang dan langsung menjauhkan kita dari limpahan rahmat-Nya.

Sungguh jiwa kita tidak boleh menerima petaka ini dan hati nurani kita berasa cukup tidak selesa dengan situasi ini. Walhal terpisah dari keluarga sendiri pun sudah terasa haru dan tidak keruan. Inikan pula terpisah dan jauh dari rahmat Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Seandainya dikumpulkan semua kelazatan dan kenikmatan duniawi ini dengan satu tujuan untuk menggembirakan hati kita dan mengeluarkannya dari beban penderitaan kerana terpisah dari rahmat Allah itu, nescaya ia tidak berupaya menghilangkan segala kedukaan dan penderitaan tersebut, sebaliknya ia hanya akan menambah bebanan dan tekanan pada jiwa yang sudah sedia terseksa.

Ahh.., penderitaan dan kepahitan kerana berjauhan dan terpisah dari Allah ini hanya dapat dirasai dan ditangisi oleh insan yang hidup hati nuraninya. Namun tidak bagi mereka yang telah mati hatinya. Orang yang mati hatinya tidak lebih bagai bangkai yang berjalan. Ia tidak sensitif dengan apa-apa lagi. Benar sekali ungkapan si bijaksana yang menyebutkan:

“Kelukaan tidak memberikan sebarang kesakitan lagi kepada hati yang telah mati.”

Bagaimana diri kita semua kala ini? Pernahkah kita merasai yang diri ini amat jauh dari Allah Subahanna Wa Tala iaitu tatkala tercebur ke dalam kancah dosa dan maksiat? Memang pernahlah jawabnya. Kerana dosa, kita yang telah Islam ini pun boleh terlempar jauh dan terpinggir dari rahmat Allah s.w.t., bayangkan betapa jauh dan sayupnya rahmat dan pandangan Allah pada seseorang yang kafir dan syirik pada-Nya?

Ingatlah sahabatku seperjuangan,ini sekadar peringatan untuk kita bermuhasabah diri kita semua pada Hari Jumaat ini.Kita adalah pejuang Islam,sudah sunnah dalam perjuangan akan ada mehnah dan tribulasiyang menimpa kita semua.

Lihatlah bagaimana mereka yang mahu memperjuangkan agama Allah disiksa,dipenjara, dan pelbagai lagi ujian yang berlaku kepada pejuang-pejuang Islam di dunia ini.


Firman Allah Taala

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة


Jika sekiranya ( perjuangan ) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut engkau , akan tetapi ( perjuangan ) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka .

Hakikat ini sudah kita fahami semuanya dan kita sudah lihat dengan mata kepala kita sendiri..Apabila ada yang mahu menegakkan kebenaran,ditangkap dan disiksa oleh pemerintah yang bimbang kuasanya terhakis.

Pengalaman yang Allah taala berikan kepada ana peluang untuk menaiki trak polis,disoal siasat didalam bilik kecil,disembur dengan gas pemedih mata,mengajar ana banyak perkara dan menunjukkan betapa pentingnya kebergantungan kita kepada Allah untuk menghadapi perkara sebegini.

Akan tetapi ana sering berfikir adakah itu boleh dijadikan ukuran bahawa sudah cukup terjamin Istiqamah kita dalam meneruskan perjuangan kita yang masih jauh lagi.Kata Tuan Guru Ustaz Harun Taib:

“Kalau kita mahu ukur Istiqamah seseorang adalah setelah seseorang itu mati dalam perjuangan”

Hakikatnya kita sangat memerlukan Allah di dalam hidup kita. Kita tidak rela terpisah dari pandangan dan rahmat Allah walaupun sesaat cuma. Kalau Allah mula berlepas tangan dari kita, bermakna bermulalah detik kemusnahan kita. Ingat! Bahawa syaitan dan nafsu sentiasa berusaha mewujudkan jaluran dosa yang menjadi kabut hijab antara hamba dan Allah yang Esa. Astaghfirullahal Azhim…

Istilah Sufi Haraki dan Haraki Sufi Kurang Tepat.

0 comments

InsyaAllah pada malam kita akan membincangkan mengenai isu yang sering dibahaskan oleh mereka yang memperjuagkan agama Allah taala iaitu Sufi Haraki dan Haraki Sufi” Zaid memulakan perbicaraan pada satu pertemuan Ilmiah yang diadakan di Hayyu Asyier,Kaherah,Mesir dalam keadaan malam yang begitu sejuk selepas membuka pertemuan tersebut dengan bacaan al-fatihah.

Ok, saya buka kepada sesiapa yang mahu bagi pendapat tentang isu ini?” tambah Zaid lagi.

Kelihatan mereka yang hadir pada malam itu sedang menulis sesuatu didalam buku kecil masing-masing seolah-olah menulis isi yang ingin mereka kongsikan tentang isu yang dibangkitkan oleh Zaid selaku pengerusi pada pertemuan Ilmiah pada malam itu.

Baiklah,biar ana yang mulakan dulu” kata Kamil,seorang pemuda yang tinggi lampai dan mempunyai cita-cita untuk menjadi Murabitun pada jalan Allah kelak.

“Pada pendapat ana,sebagaimana yang kita tahu bahawa isu ini sudah lama diperkatakan oleh mereka yang memperjuangkan agama Allah terutamanya di kampus-kampus di Tanah Air.Hal ini berlaku adalah kerana mereka ingin menjadi orang yang berkerja untuk Islam bukan sekadar hebat dari sudut gerak kerja saja akan tetapi mereka juga ingin hebat dari sudut sufi iaitu dari sudut ibadah mereka,amalan mereka dan sebagainya.Kata mudahnya mereka ingin menjadi seperti Rahib di malam hari dan singa di siang hari.”jelas Kamil dengan panjang lebarnya.

“Ana setuju dengan pendapat Kamil”sampuk Ali dalam keadaan badannya terketar-ketar menahan sejuk.

“Terima kasih diucapkan kepada Kamil diatas pendapat yang dilontarkan kepada kita semua tadi,Ali..takkan setuju jer..enta tak der pendapat ker? Kata zaid merancakkan lagi perbincangan Ilmiah pada malam itu.

“Ermm..sebenarnya ana segan untuk bagi pendapat sebab ana yang muda sekali dikalangan antum semua ,tapi tak per la..ana cuba erk.”gurau Ali dalam keadaan badannya masih lagi terketar-ketar menahan sejuk yang amat sangat pada musim sejuk di Perlembahan Nil.

“Macamner nak mula ya..” Ali masih lagi tidak dapat nak lontarkan pendapat yang terbenak dalam fikirannya.

Cepatla mula Adik Su” gurau Azmi yang sememangnya sering mengusik Ali.

“Baiklah..begini..sebagai pejuang Islam,marilah sama-sama kita jadikan sirah Nubuwwah sebagai rujukan kita untuk mengharungi perjuangan kita pada masa kini,kerana apa yang berlaku kepada pejuang Islam pada masa kini adalah sama dengan apa yang dihadapi oleh Nabi dan para sahabat dalam menyampaikan agama Allah s.w.t..Jalan ceritanya sama,cuma wataknya sahaja yang berbeza.”Ali memulakan kalamnya dengan semangat sekali.

Semua yang hadir memandang Ali dengan khusyuk sekali,setia mendengar kalam yang disampaikan oleh Ali.Walaupun Ali merupakan yang paling muda sekali dikalangan mereka namun mereka semua bersedia mendengar kalam yang disampaikan oleh Ali.

“Oleh itu ,jangan kita lupa,Risalah Kerasulan yang dibawa oleh Nabi s.a.w meliputi tiga perkara iaitu pertama Tabligul Ahkam, keduanya ialah Tanfizul Hukmi dan yang ketiganya ialah Tazkiyatun Nufus.”

“Jadi siapa yang faham tentang risalah yang dibawa oleh Nabi nie?”soal Ali.

Tablighul Ahkam adalah menyampaikan hukum-hukum dalam erti katanya adalah menuntut Ilmu ,manakala Tanfizul hukmi pula adalah melaksanakan pemerintahan dalam erti kata lain kita melaksanakan hukum yang di pelajari dan untuk itu ia memerlukan kepada sebuah Harakah iaitu gerakan untuk menggerakkannya yang dinamai Haraki.Selepas kita sudahpun menuntut ilmu dan melaksanakan apa yang dipelajari,kita juga memerlukan Tazkiyatun Nufus iaitu Pembersihan Jiwa,kerana untuk membersihkan jiwa kita ini daripada sifat ria’,ujub,dan sebagainya dalam segala gerak kerja yang kita lakukan.Tazkiyatun Nufus merupakan suatu kekuatan spiritual kepada pejuang islam itu sendiri.” Jawab Ahmad kepada persoalan yang dilontarkan oleh Ali sebentar tadi.

“Tepat sekali Ahmad,jadi pendapat diri yang faqir ini ketiga-tiga elemen ini perlu serasi dan bukan hanya sufi dan haraki sahaja akan tetapi perlukan juga kepada Thaqafah” terang Ali dengan begitu yakin sekali,kali ini badannya sudah tidak terketar-ketar lagi dengan kehangatan perbincangan pada malam ini menghangatkan tubuh Ali yang sejuk sebelum ini.

Semua yang hadir mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan pendapat Ali.

“Ermm..sungguh tepat apa yang diperkatakan oleh Ali ,as-Syahid Imam Hasan al-Banna juga pernah berkata, ‘Islam itu ibarat sebuah bulatan besar,didalam bulatan besar itu ada tiga bulatan kecil iaitu Fiqhiyyah,Harakiyah dan Sufiyyah’.Sepertimana yang disebutkan oleh sahabat-sahabat kita tadi ketiga-tiga elemen ini perlu ada dalam jiwa-jiwa mereka yang ingin memperjuangkan agama Allah taala kerana didalam Islam ketiga-tiga elemen ini tidak dapat dipisahkan.”tambah Kamil mentaukidkan lagi pendapat Ali dan sahabat-sahabat yang lain.

“Nampaknya kita semua sudah faham dengan apa yang dibincangkan pada malam ini,jadi Istilah Sufi Haraki dan Haraki Sufi adalah bagi ana kurang tepat kerana ia perlu ditambah satu elemen lagi iaitu fiqhiyyah dalam erti kata lain Ilmu,oleh itu setuju tak kalau ana katakan bahawa istilah Sufi Haraki dan Haraki Sufi ini perlu ditukar kepada istilah Muslim Sejati,yang mana syarat muslim sejati ini adalah mesti meliputi ketiga-tiga elemen yang disebutkan tadi iaitu Fiqhiyyah,Haraki dan Sufi?”Tanya Zaid.

“Setuju!!!” semua yang hadir sepakat setuju dengan apa yang dikatakan oleh Zaid

Pertemuan pada malam itu diakhiri dengan bacaan tasbih kafarah dan suratul asr..

Jangan Begitu

0 comments

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera dari Perlembahan Nil buat semua.


Terpanggil rasanya ana untuk mencoretkan sesuatu dalam blog ini,dalam keadaan susana pagi musim sejuk di perlembahan Nil ini menjadikan ana seolah-olah berada di dalam peti sejuk.


Namun ana sering berdoa walaupun suasana sekarang seperti berada di dalam peti sejuk akan tetapi tidak menjadi “Muthallajul Arab” yang diistilahkan oleh as-Syahid Abdullah Azam kepada pensyarah-pensyarah yang berada di Arab Saudi pada zaman as-Syahid yang seolah-olah seperti peti sejuk,kaku dan bisu sehinggakan tidak mengambil cakna terhadap masalah yang menimpa umat Islam ketika itu.


Walaupun tangan ini seolah-olah kelu untuk menulis dek kerana sejuk yang tidak terlalu melampau, akan tetapi kerana memikirkan perkara yang berlaku mutakhir ini ana merasakan perlu untuk ana berkongsikan sesuatu supaya memberikan kebaikan kepada kita semua.


Kadang-kadang hadir juga perasaan bimbang dalam diri ini untuk menulis atau berkongsi sesuatu dalam blog ini kerana teringatkan kata-kata yang sering disebut oleh sahabat ana.Beliau naqalkan kata-kata ini dari Syeikh Usamah seorang syeikh yang begitu alim dan tawadhu’ dalam ilmunya,semoga Allah sentiasa memeliharanya .Kata Syeikh “Zaman sekarang adalah zaman yang penuh dengan fitnah yang mana semua orang ingin megeluarkan pendapat dan ingin berkata-kata,seolah-olah mereka sangat arif dalam sesuatu hal tersebut,padahal mereka bukanlah daripada kalangan orang yang berilmu”.


Hal ini sememangnya sudah terbukti sekarang apabila kita melihat didalam laman-laman web,blog,dan banyak lagi yang apabila timbul sesuatu isu atau perkara samada yang berkaitan dengan agama atau tidak, ramai yang akan membuat komentar atau mengeluarkan pendapat tentang perkara tersebut padahal mereka bukanlah daripada kalangan “ahlinya”.Ambillah pengajaran daripada ayat al-Quran,Firman Allah “Bertanyalah kepada mereka yang ahlinya jika sekiranya kamu tidak mengetahuinya”.


Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang apabila tidak mengetahui tentang sesuatu perkara tidak malu untuk bertanya kepada yang “ahlinya”,bukannya apabila berlaku sesuatu perkara kita sibuk untuk mengeluarkan pendapat mengikut hawa nafsu dan bukannya berdasarkan Ilmu.


Tawadhullah wahai diri..jangan kamu mengeluarkan pendapat jika kamu bukan dari kalangan ahlinya.Ramai yang mengeluarkan pendapat untuk mendapat nama dan pujian di mata masyarakat.Ingatlah pujian daripada manusia ini merupakan perkara yang hanya sementara sahaja..tidak kekal.. tetapi berimanlah bahawa pujian dan redha Allah adalah kekal selamanya.


Kita bimbang sekiranya orang yang tidak berilmu banyak berkata-kata,kita akan dilaknat oleh Allah sepertimana yang telah berlaku kepada Umat yang terdahulu.Oleh kerana itu tuntutlah ilmu,agar segala tindak tanduk kita semuanya berdasarkan ilmu yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w..


Ketahuilah bahawa hakikat Islam dari prinsip, dasar hinggalah ke rantingnya bukanlah hanya tata cara peribadi yang berpindah-randah dari nenek moyang terus turun-temurun atau jampi yang disebarkan secara ragu-ragu tetapi ia adalah hakikat yang bersumberkan Al-Qur'an dan As-Sunnah yang tidak mampu difahami kecuali oleh para ulama' dan cerdik pandai yang memiliki ilmu yang matang dalam memahami sesuatu yang benar.


Islam adalah agama ilmu dan agama akal, oleh kerana itu sebelum Islam membebankan pengikut-pengikutnya dengan sesuatu perintah atau larangan terlebih dahulu Islam mewajibkan mereka supaya berilmu dan mendalami urusan tersebut supaya perbuatan itu bersesuaian dengan kebenaran dan kemaslahatan.

Saidina Umar pernah berpesan:

تفقهوا فبل أن تسودوا

Perutusan Sempena Imtihan Dari Sahabat Seperjuangan

2 comments

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua.


Maaf ana ucapkan kerana sudah lama tidak mengupdate blog nie..ana tidak berhajat untuk jadikan alasan imtihan yang semakin hampir adalah alasan ana untuk tidak mengupdate blog nie dan bukan juga kerana tiada masa,sudah banyak perkara yang ana tulis untuk berkongsi kepada sahabat sekalian akan tetapi Allah tidak memberi kudrat kepada ana untuk menekan Publish Post dan seterusnya akan terbitlah apa yang ana mahu kongsikan kepada kalian semua.Memang banyak perkara yang ana mahu kongsikan kepada sahabat sekalian akan tetapi apakan daya kita merancang Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik perancang.


Untuk Posting kali ini ana sekadar mahu berkongsi emel yang diberikan kepada ana oleh sahabat seperjuangan yang sama-sama berjuang di Tanah Air sebelum ana diberi peluang oleh Allah untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu di sebalik debu-debu di Bumi Anbiya' ini.Terima kasih ana ucapkan kepada sahabat ana kerana masih ingat kami disini.


Pada asalnya dia hanya menyuruh ana untuk menyampaikan sahaja ucapan nie kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang sama-sama berjuang di Bumi Anbiya' nie tapi ana mengambil keputusan untuk menyiarkan emel sahabat ana nie kepada semua, walaupun ucapannya ringkas tapi ambillah iktibar untuk kita semua terutamanya yang akan menempuh Imtihan pada 16/1/2010.



Assalamualaikum..kpd semua sahabat ana yang sedang bermujahadah dalam pelayaran ilmu bersama nahkoda ulama,semoga antum semua diberkati dan dikasihi oleh Allah s.w.t. Tiada apa yang kita harapkan melainkan keredhoan tuhan,tiada apa yang kita perjungkan melainkan islam,tiada apa yang kita berikan melainkan harta,tenaga dan masa yang kita sayangkan,sesungguhnya tiada nilaian yang patut kalian nilaikan melainkan ganjaran syurga yang tiada terhitung nilainya untuk kalian wahai pejuang.

Kenapa perlu kita merungut dalam perjuangan?,bukankah bahawa kita mengetahui bahawa tiada qudrat melainkanAllah.Kudrat yang kalian curahkan untuk perjuangan ini,,ingatlah bahawa ia merupakan pemberian Tuhan.Kenapa perlu kalian bimbang dan gelisah dalam perjuangan? bukankah segala-segalanya adalah ketentuan dan kehendak tuhan.

Ana mengambil kesempatan ini,bagi mengambil bahagian untuk bersama memberi dorongan dan sokongan kepada antum dalam menuntut ilmu Allah s,w,t.Tambahan pula,, antum semua akan menempuh peperiksaan awal bagi pengajian antum ,ana doakan "selamat berjaya " dalam peperiksaan.Ana menggunakan istilah berjaya kerana ana yakin antum semua adalah insan pilihan tuhan,maka tiada sebab entum semua tak berjaya.Sesungguhnya Allah s.w.t tiada berkehendakkan kepada kita semua, melainkan segalanya yang baik-baik belaka.

"lihatlah siapa yang memberi kepada antum,jangan dilihat pada apa yang diberi,ambillah pengajaran dari kisah ayyub a.s.dan ibrahim a.s yang menjadi panduan kepada seorang insan yang arifibillah.

Salam perjuangan dari sahabat ; Mohd Raziqin Bin Zakaria Al Azhari insyaallah hu taala.ameen.

Ana juga ingin mengucapkan selamat menempuh Imtihan kepada semua.Ana doakan semua najah InsyaAllah..

p/s: sedapnya sambil update blog nie ada yang baik hati belanja makan strawbery..yurm2

Dia Telah Pergi Meninggalkanku..

4 comments
Assalamualaikum dan Salam dari Perlembahan Nil..

Alhamdulillah..dulu,kini dan selamanya ucapan syukur ke hadrat Ilahi kerana diatas rahmat yang dikurniakan olehNya kita masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udaraNya dimuka bumi ini.

Dan diatas sifat RahimNya juga kita masih lagi dikekalkan untuk hidup dalam keadaan roh dan jasad kita masih lagi dipandu oleh Iman dan Taqwa,moga-moga kita diberikan kekuatan oleh Allah taala untuk hidup diatas muka bumi ini untuk melaksanakan tugas yang telah dibebankan oleh Allah taala kepada kita semua.

Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah ataupun lebih dikenali lagi oleh masyarakat kita dengan Hari Raya Korban telah pergi meninggalkan kita.Hari raya yang disambut untuk memperingati pengorbanan yang telah dibuat oleh Nabi Allah Ibrahim dan juga Nabi Allah Ismail untuk melaksanakan perintah daripada Allah taala kepada mereka tanpa banyak persoalan atau cuba untuk berdalih sepertimana kaum Yahudi yang terkenal dengan sifat keras kepala dan suka berdalih untuk melaksanakan perintah daripada Allah taala.

Apakah erti Hari Raya Korban kepada anda ? Carilah erti agar kita akhirnya mempunyai satu pandangan dan jawapan yang tersendiri. Erti Hari Raya Qurban yang lahir daripada hati.

Setiap daripada kita berbeza. Punya kisah yang berbeza. Ambillah iktibar daripada peristiwa Qurban untuk disesuaikan dengan kisah kehidupan kita. Apakah pengorbanan yang ingin kita lakukan?

Mungkin ini membantu kita menjawab erti Hari Raya Aidiladha kita pada tahun ini. Ambillah masa sekejap untuk berfikir dan mencari jawapan. Jawapan itu ada di dalam hati. Jujur pada diri. Berdoalah tatkala mencari, Allah mendengarnya.

Justeru, Ana bertanya sekali lagi pada pemilik hati-hati yang membaca.

Apakah erti Hari Raya Aidiladha buat anda?

Ambil masa, tanya pada diri, berfikir dengan tenang, selamilah hati. InsyaAllah, jika bukan saat ini, pasti akan bertemu jawapannya. Syaratnya perlu teruskan mencari.

Seruan ana, marilah kita mengambil iktibar daripada Hari Raya Aidiladha yang kita sambut pada tahun ini. Mencari erti dengan mata hati. Mencari erti dengan sabar dan solat.

Moga-moga dengan sambutan Hari Raya Korban pada tahun ini kita hayati benar-benar dalam kehidupan kita moga sifat berkorban dapat kita aplikasikan dalam kehidupan kita sekalian.Ameen

GALERI GAMBAR HARI RAYA KORBAN DI KOMPLEKS KPT HAYYU ASYIER,KAHERAH,MESIR

Oi..lapah apa tu..xder daging pon..nie mesti cover nie coz ada org amik gambar..huhu

Bergambar selepas Program Gema Aidil Adha

Bergambar selepas solat Raya di Suq Sayyarah

ish2..org duk lapah daging sempat lg yer ambik gambo ngan adik Iqram(budak 13thn hafiz 30 juzuk dr negara Tarjikistan)

p/s: Sambutan Raya Raya Aidil Adha dengan sahabat2 di perlembahan Nil sgt meriah..moga2 Ukhuwah kita berkekalan..Ameen..Mintak maap byk2 Family kat Kampung x sempat nak tepon..tenet lambat..

Satu Gagasan..

0 comments

Assalamualaikum dan Salam Eidul Adha..

Selamat menyambut Eidul Adha kepada semua umat Islam yang berada diseluruh dunia samada di Tanah Air tercinta Malaysia mahupun diserata dunia.Alhamdulillah, walaupun ana menyambut hari raya Eidul Adha jauh diperantauan namun ucapan syukur kehadrat Ilahi kerana nikmat gembira masih lagi wujud didalam diri ini dikala menyambut hari raya jauh dari keluarga tercinta.Akan tetapi sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk menelefon family dikampung…

Walaubagaimanapun moga-moga kita semua dapat mengambil pengiktibaran disebalik peristiwa pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah daripada Allah s.a.w..Tanpa pengorbanan,hidup ini tidak akan memberikan apa-apa erti.

Dalam keadaan yang melanda dunia Islam sekarang,umat Islam perlu menyedari bahawa hakikat pengorbanan sekarang bukan hanya dimulut sahaja tanpa bukti yang ditunjukkan.Tambahan pula,sejak mutakhir ini dunia Islam diserang sedahsyat-dahsyatnya oleh rejim kafir laknatullah dari aspek sukan,nyanyian,ilmu,perfileman dan dari segenap aspek.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu penerbitan Filem “2012” yang penuh dengan kontroversi kerana terdapat agenda yahudi atau gerakan Iluminiti yang tersembunyi didalam filem tersebut yang perlu kita teliti dan fahami dengan betul,terdapat babak-babak yang terdapat dalam filem tersebut menunujukkan bahawa ada suatu perancangan yang jahat sedang dirancang oleh gerakan Iluminiti untuk menguasai dunia sebagaimana yang berlaku dalam perang dunia pertama dan kedua.

Dunia Islam juga bukan sahaja diserang dari sudut perfileman sahaja malahan yang lebih membarah lagi adalah dari sudut ilmu atau pendidikan.Umat Islam sebenarnya sudah ditipu dengan putar belit gerakan Iluminiti dalam meracuni pemikiran anak-anak Islam dengan memasukkan silibus-silibus yang telah diselewengkan didalam pembelajaran anak-anak umat Islam di sekolah-sekolah.

Baru-baru ini,dikesempatan masa yang ada, ana sempat membaca satu artikel mengenai cara untuk menyelamatkan dunia Ilmu Islam daripada diselewengkan oleh gerakan Iluminiti iaitu dengan melaksanakan Gagasan PengIslaman Ilmu.

Gagasan ini mula dibangunkan oleh Allahyarham Dr. Ismail Raji Al-Faruqi yang merupakan profesor Pengajian Islam di Universiti Temple, Philadelphia. Tetapi idea sebenar penggunaan istilah ‘PengIslaman Ilmu’ adalah lonjakan daripada Syed Naquib Al-Alattas dari Malaysia pada 1974.

GPI adalah satu objektif baru yang dibina oleh beberapa kelompok pemikir Islam dalam usaha mengeluarkan konsep-konsep pemikiran dan metodologi sains sosial dari konsep-konsep Barat.


Gagasan PengIslaman Ilmu memainkan peranan penting dalam usaha mendefinasikan semula ilmu-ilmu sains sosial seperti sosiologi, psikologi, sejarah, sains politik, ekonomi dan sebagainya mengikut konsep-konsep Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Namun begitu, ia bukanlah suatu usaha yang mudah kerana umat Islam moden bukan setakat sudah biasa dengan konsep, pemikiran, metodologi dan pendekatan barat, malah sifat mereka juga telah ditentukan oleh asuhan pendidikan sekular moden sejak kecil.

Konsep GPI ini jika benar-benar diadaptasikan oleh pemerintah Islam di seluruh dunia, nescaya ia akan mempercepatkan proses mengembalikan semula zaman kegemilangan ilmu-ilmu masyarakat Islam zaman dahulu.

Konsep ini juga pada akhir objektifnya akan membawakan setiap manusia Muslim itu ke arah mengagungkan semulailmu-ilmu Islam kerana pada hakikatnya dalam sejarah Islam, setiap tokoh-tokoh Islam itu tidak sahaja menguasai ilmu duniawi tetapi juga alim di dalam ilmu-ilmu ukhrawi.

Namun demikian, usaha-usaha menghalang gagasan ini dari berkembang luas nampaknya dilakukan dengan drastik oleh golongan Illuminati. Pada 1986, Dr. Ismail Al-Faruqi dan isterinya, Dr. Louis Lamya telah dibunuh di rumahnya. Ramai pemerhati mengesyaki bahawa komplot pembunuhan ini didalangi oleh Jewish Defense Leage (JDL).

Gagasan PengIslaman Ilmu adalah satu mandat yang amat sempurna dalam menghakis aliran sekular di dalam disipilin-disiplin ilmu Sains Sosial di universiti. Ia juga merupakan satu senjata pemikiran yang ampuh unttuk mengeluarkan umat Islam dari kepompong bekung sekularisme pendidikan.

Amat malangnya, pelancaran gagasan ini dapat dihidu awal oleh golongan Illuminati. Mereka lebih cepat mengenalpasti kesan-kesan jangka panjang hasil daripada perlaksanaan gagasan ini. Bukan setakat mengenalpasti, mereka juga dapat menyekat cahaya gagasan ini dari menyinari sarjana-sarjana Islam di seluruh dunia.

Oleh yang demikian,ayuhlah kita semua menyedari bahawa merupakan tanggungjawab yang terbeban keatas kita untuk merealisasikan gagasan ini terutamanya yang mempelajari ilmu agama secara mendalam.Anda sanggup memikulnya??

"APA YANG AKU CARI ADALAH DAMAI BUAT UMAT INI"